• Definisi Kebahagiaan ~

    Kehidupan yang membahagiakan dan menggembirakan sememangnya menjadi idaman kepada setiap manusia. Kerana itu jugalah, ada di antara kita yang tersilap langkah apabila  gagal mendefinisikan kebahagiaan dan kegembiraan itu dengan cara yang betul berpandukan kepada agama.

    Jika ditanya kepada saya apa definisi kebahagiaan dan kegembiraan itu, jawapan ringkas saya ialah “hidup dalam keadaan sihat dan harmoni, mampu mendapatkan apa yang kita perlukan dan memperolehi redha dan keberkatan Ilahi dalam apa yang diusahakan’. 

    Jika ingin dijelaskan lagi, hidup dalam keadaan sihat dan harmoni bermaksud kita hidup dalam situasi yang menyenangkan, saling menghormati, saling menyayangi tidak kira dalam kehidupan berkeluarga, persahabatan mahupun bermasyarakat. Kita juga turut mengamalkan nilai-nilai murni yang mulia di dalam kehidupan kerana tanpa nilai-nilai ini di dalam diri, sudah tentulah sukar untuk kita hidup dalam keadaan yang  tenang. Kesihatan juga adalah sesuatu perkara yang amat penting dan perlu dititikberatkan kerana jika tidak sihat, kita pasti tidak mampu untuk menjalani kehidupan ini secara normal.

    Mampu mendpatkan apa yang kita perlukan pula bermaksud kita mampu menyediakan keperluan untuk diri sendiri, anak-anak dan juga keluarga. Saya tidak menggunakan perkataan ‘keinginan’ kerana keinginan adakalanya adalah benda-benda yang tidak diperlukan sebaliknya hanyalah kehendak yang mengikut kata hati dan nafsu’. Sebagai contoh kita memerlukan rumah, kereta, pakaian, makanan, pelajaran, rehat yang mencukupi dan sesekali berhibur atau bercuti setelah penat bekerja dan bagi menggembirakan hati anak-anak. Keperluan juga boleh menjadi keinginan atau kehendak sekiranya kita tidak mampu mengawalnya. Sebagai contoh: kita memerlukan kereta sebagai pengangkutan utama, di mana kriteria kereta tersebut PERLU sesuai dengan keperluan kita (bilangan ahli keluarga, tujuan kegunaan dll) DAN harganya juga perlu di dalam lingkungan KEMAMPUAN kita. Bayangkan jika kita sebenarnya hanya mampu membayar untuk Exora tetapi kita memilih untuk membeli MURANO? Sudah tentu hidup kita akan kacau bilau di mana duit yang sepatutnya digunakan untuk keperluan lain terpaksa digunakan untuk membayar kereta yang mahal tersebut.

                                                         Gambar Murano Idamanku 🙂

    Memperolehi redha dan keberkatan Ilahi dalam apa juga yang diusahakan membawa pengertian yang lebih mudah dan boleh dikatakan merangkumi dua perkara di atas tadi. Cara hidup kita perlu sentiasa berpandukan kepada Al Quran dan Sunnah. Lakukan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Jika bekerja, kita bekerja bersungguh-sungguh, jangan menggunakan jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Jika kita berniaga, jadilah peniaga yang jujur, ikhlas dan sentiasa mengutamakan kebajikan pelanggan. Seimbangkan kehidupan untuk dunia dan akhirat, hormati ibu bapa, utamakan keluarga dan yang penting sentiasa bertawakal, redha  dan istiqamah dalam apa jua yang kita usahakan.

    InsyaAllah, kegembiraan dan kebahagiaan itu akan datang dengan sendirinya. Yang penting kita perlu  sentiasa berfikiran positif, positif dan positif !!!!

    (Visited 37 times, 1 visits today)

    Categories: Motivasi

    Tags:

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge