• Kewajipan Berbakti Pada Ibu Bapa ~

    Seorang anak biasanya akan lebih menghargai dan memahami pengorbanan yang telah dijalankan oleh ibu bapa apabila mereka mempunyai anak/zuriat sendiri. Sesungguhnya pengorbanan yang dibuat oleh ibu bapa untuk membesarkan kita sejak lahir hingga dewasa tidak akan dapat dibalas walaupun dengan nilai wang jutaan ringgit.

    Pengorbanan ibu bapa ini dijelaskan  oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

    “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” [Surah Luqman ayat: 14]

    Sumber Asal: www.islam.gov.my 
    Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.  [ Riwayat al-Hakim]

    Pengajaran hadis:

    i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

    ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

    iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

    iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.

    v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.

    Sabda Rasullah “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).” [Riwayat Muslim]


    Peranan Isteri

    Para isteri perlu menyedari hakikat kewajipan suami terhadap orang tuanya dengan merelakan suami menunaikan tugasnya terhadap kedua ibu bapanya dengan sempurna sekalipun memerlukan masa, wang dan pengorbanan lain. Menghalang suami dari berbakti kepada kedua ibu bapanya di hari tua adalah satu pilihan yang kejam.

    Mengambil hak seorang ibunya yang benar-benar mengharapkan adanya anak yang akan mengingati jasa dan pengorbanan silam dengan menjaganya saat-saat tidak berkeupayaan adalah satu sifat yang tidak berperikemanusiaan. Alangkah baiknya sekiranya masih ada isteri akan mengingatkan suami akan kewajipan menjaga orang tuanya.

     Menghormati Ibu Bapa

    Islam telah menggariskan beberapa cara untuk menghormati ibu bapa. Antaranya:

    • Beradab sopan seperti berlemah-lembut, bergaul mesra dan menjaga perasaan mereka.
    • Mengenang pengorbanan mereka seperti ibu mengandung, melahirkan dan menyusukan. Bapa pula mendidik, mengasuh dan mencari rezeki.
    • Menziarahi mereka dan selalu bertanya khabar.
    • Memenuhi permintaan dan patuh dengan suruhan mereka yang tidak bertentangan Islam.
    • Tidak membantah kata-kata mereka.
    • Tidak menyakiti perasaan mereka.
    • Kita juga diwajibkan untuk berbakti terhadap kedua ibu bapa. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk berbakti kepada mereka. Antara lain:
    • Memberi sumbangan kebendaan, terutama ketika mereka dalam keadaan susah.
    • Melayani mereka tanpa membiarkan mereka sedih dan kesunyian.
    • Merawati mereka ketika sakit.
    • Menjaga mereka ketika mereka tidak berdaya.
    • Sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.
    • Berakhlak mulia demi menjaga maruah kedua ibu bapa. Mereka pasti bangga mempunyai kita. 
    •  

    Apabila mereka telah meniggal dunia, apa yang mampu kita lakukan untuk mereka adalah:

    • Mendoakan dan memohon ampun untuk mereka agar dikurniakan kebahagiaan di akhirat.
    • Menunaikan janji mereka.
    • Memuliakan rakan-rakan mereka.
    • Menyambung persaudaraan dengan kerabat mereka

    (Visited 145 times, 1 visits today)

    Categories: Khidmat Masyarakat, Mendidik Anak, Motivasi

    Tags:

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge