• Sunnah & Adab Menyambut Aidilfitri

    Alhamdulillah, sedar tak sedar dah hampir 19 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan ini. Dalam 10 hari yang terakhir ni, ramai yang mengambil kesempatan untuk membuat persediaan akhir bagi menyambut AidilFitri.

    Di bawah ini saya kongsikan serba sedikit amalan tentangsunnah dan adab sebagai garis panduan bagi kita menyambut AidilFitri. Mudah-mudahan keberkatan dan kemuliaan Ramadhan ini dapat kita teruskan di bulan Syawal dan bulan-bulan yang seterusnya, InsyaAllah.

     

    Hari Raya AidilFitri

    Aidil Fitri  adalah hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadan.

    Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan sambutan ini, hendaklah mengikut panduan sunnah Rasulullah SAW menyambut Hari Raya, antaranya ialah;

    1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
    Imam Malik meriwayatkan: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”

    2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya Aidil Fitri.

    Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].

    3. Bertakbir pada hari Raya
    Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185].

    Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

    4. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
    Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik

    5. Berpakaian baru/cantik di hari raya
    Daripada Jabir katanya: “Nabi SAW mempunyai sehelai jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].

    Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].

    6. Solat Sunat Hari Raya. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/ fardhu kifayah dan fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama semasa.  

    Selain itu, wanita yang uzur juga digalakkan keluar menyaksikan solat hari raya. Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi SAW. untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah).

    Daripada Umm Atiyyah katanya: “Kami disuruh oleh Nabi SAW untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”

    7. Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya. Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya: “Adalah Rasulullah SAW keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” [Sahih Ibnu Majah “Hasan”]

    Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh dari musalla / masjid tidak mengapa naik kenderaan.

    8. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik melalui jalan yang lain.
    Daripada Jabir bin Abdillah ra katanya: Maksudnya: “Adalah Nabi SAW, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” [Al-Bukhari: 986]

    Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini;

    • Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Hal ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya daripada perkara-perkara yang baik dan jahat.
    • Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
    • Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SWT.
    • Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

    9. Zakat Fitrah. Nabi SAW menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal. Imam al-Bukhari meriwayatkan: “Adalah mereka (sahabat Nabi SAW) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”

    Kesalahan yang sering dilakukan pada hari raya ~ Pergaulan Bebas.
    Ramai di antara kita yang terlupa dan mengambil mudah tentang perkara ini. Apabila tibanya AidilFitri, mereka menganggap hari raya adalah “hari kebebasan” iaitu hari yang terlepas daripada ikatan agama (agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari raya ini merupakan lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram, berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan.

    Semoga AidilFitri  yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebaikan, InsyaAllah.

    (Visited 192 times, 1 visits today)

    Categories: Umum

    Tags:

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge