• Kelebihan Kalimah Alhamdulillah

    Assalamualaikum pembaca semua.

    Hari ini Mek ila ingin berkongsi tentang kelebihan kalimah Alhamdulillah yang selalu kita ucapkan apabila mendapat perkhabaran baik dan menggembirakan.

    Alhamdulillah – Segala Puji Bagi Allah

    Kalimah Alhamdulillah merupakan ungkapan yang disebut sebagai tanda menyatakan kesyukuran kepada Allah. Malah kita amat digalakkan menyebut kalimah Alhamdulillah setiap kali kita selesai melakukan sesuatu perkara sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

    Bagaimana pula ketika menerima perkabaran sedih atau duka? Bolehkah kita menyebut perkataan ‘Alhamdulillah’? Inilah yang saya ingin kongsikan berdasarkan pengalaman sendiri dan pemerhatian kepada keadaan di sekeliling kita.

    Kehidupan kita ini sememangnya akan penuh dengan Ujian. Ujian datang dalam pelbagai bentuk, ada ujian dalam bentuk kesusahan dan ada juga ujian yang diturunkan dalam bentuk kesenangan. Ujian ada kalanya datang terus kepada kita sendiri, ada yang datang melalui pasangan dan ada juga ujian yang datang melalui keluarga dan rakan-rakan.

    Setiap hari kita akan diuji, bagi yang sabar dan redha, mereka akan dapat melaluinya dengan penuh kesabaran. Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 286yang bermaksud

    “ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya”

    Kerana itulah kita sentiasa digalakkan untuk mengucapkan kalimah Alhamdulillah tidak kira di masa sedih  atau pun duka. Mek ila  sertakan sedikit contoh yang sering berlaku dan sangat dekat di hati kita.

    Sebagai contoh:

    Anak demam
    Ucapkanlah –> Alhamdulillah, kita harus bersyukur kerana anak demam sahaja bukan sakit lain yang merbahaya. Bila demam, ianya akan meningkatkan lagi antibodi anak. Kita juga akan berpeluang untuk berbakti dan dapat lebih menjaga anak berbanding waktu biasa.

    Anak nakal atau agresif
    Ucapkanlah –> Alhamdulillah dan bersabar dalam menangani perangai anak. Tiada yang sempurna di dunia ini termasuk diri kita sendiri lagilah anak-anak yang sedang membesar dan melakukan kesalahan adalah salah satu kaedah untuk mereka belajar. Bersabarlah dalam mendidik anak. Bayangkan kalau anak kita hanya diam sahaja dan tidak aktif (sakit), tentu sedih bukan?

    Mek ila teringat sebuah sajak yang pernah saya baca ketika di sekolah rendah.

    “Mengapa mudah berputus asa?
    Apakah  kesusahan yang dialami melebihi kenikmatan yang tuhan beri?
    Apakah penderitaan yang dialami melebihi penderitaan semua insan di dunia ini?

    Pendek kata makin kita bersyukur, sabar dan redha, semakin itulah kita akan merasai kemanisan ujian Allah dan menjadikannya sebagai peluang untuk memperolehi sesuatu yang lebih baik.

    Semasa husband Mek ila dimasukkan ke hospital selama sebulan setengah dahulu akibat jangkitan kuman di bahagian jantung, Mek ila  juga sentiasa mengucapkan perkataan Alhamdulillah dan sentiasa menggalakkan husband untuk turut bersyukur. Alhamdulillah–> kerana Allah tidak mengambil terus nyawanya dan kami masih berpeluang untuk terus bersama-sama walaupun hanya dapat berjumpa di hospital dalam jangka masa yang pendek setiap hari. Malah peristiwa itu juga membuatkan kami makin saling menyayangi dan menghargai di antara satu sama lain kerana kami sedar kehidupan ini cuma pinjaman dan sementara dan bila-bila sahaja Allah boleh mengambilnya daripada kita.


    “Dan Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambanya, Amin !

    Salam Sayang;
    Mek ila

    (Visited 211 times, 1 visits today)

    Categories: Motivasi

    Tags: ,

    One thought on “Kelebihan Kalimah Alhamdulillah

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge