• Bahaya GBS Ketika Hamil

    Mek ila mula mengenali GBS ini ketika mengandungkan baby Akmal di mana Mek ila disahkan oleh doktor sebagai pembawa GBS. Pengesahan tersebut benar-benar merungsingkan kerana Mek ila tahu GBS ketika hamil boleh mendatangkan bahaya sekiranya bayi yang dikandung terkena jangkitan tersebut semasa proses kelahiran. InsyaAllah, semoga perkongsian Mek ila kali ini akan memberikan penjelasan kepada ibu-ibu di luar sana yang turut mengalami masalah GBS ketika Hamil.

     

    Bahaya GBS Pada bayi

     Definisi GBS

    GBS atau Streptokokus Kumpulan B adalah salah satu daripada pelbagai jenis bakteria yang biasanya hidup di dalam badan manusia. Menurut kajian, kira-kira 1 daripada  4 wanita mempunyai GBS di dalam faraj mereka tanpa disedari. Kebanyakan wanita tidak mengetahui bahawa mereka dijangkiti GBS kerana biasanya ia tidak mendatangkan masalah atau menunjukkan simptom-simptom tertentu seperti sakit dan sebagainya.

    Antara simptom yang boleh dikaitkan dengan GBS pula adalah apabila seseorang wanita itu mempunyai masalah keputihan yang berlebihan terutamanya ketika hamil. Walaubagaimanapun bukan semua keputihan membawa kepada masalah GBS. Pengesahan sama ada seseorang wanita itu dijangkiti GBS hanya boleh dibuat dengan dengan menjalani ujian makmal yang memerlukan sedikit sample daripada bahagian vagina atau dubur.

    Dalam kes-kes yang jarang berlaku, GBS boleh menyebabkan penyakit yang serius dan boleh menyebabkan kematian kepada bayi yang baru lahir. Walaupun kes-kes ini luar biasa, GBS merupakan punca jangkitan yang teruk kepada bayi yang baru dilahirkan, terutamanya pada minggu pertama selepas kelahiran (dikenali sebagai jangkitan permulaan awal).

    Kebanyakan bayi terdedah kepada GBS sebelum atau semasa kelahiran secara normal tanpa sebarang kesan buruk. Namun, tidak jelas mengapa sesetengah bayi boleh terkena jangkitan sementara yang lain tidak. Apa yang pasti, kebanyakan jangkitan GBS terhadap bayi yang baru dilahirkan boleh dicegah.

    Bagaimana untuk mengetahui bahawa saya Pembawa GBS?

    Biasanya kita tidak mengetahui bahawa kita adalah pembawa GBS kerana GBS tidak menunjukkan sebarang simptom atau rasa sakit. Walaupun ujian untuk mengesan GBS boleh dilakukan, ujian ini bukanlah ujian rutin seperti pemeriksaan air kencing atau pemeriksaan darah (HB). Kebanyakan wanita hamil termasuk Mek ila sendiri hanya mengetahui diri adalah pembawa GBS secara kebetulan apabila  menjalani  menjalani ujian vaginal swab untuk pemeriksaan lain. 
    Jangkitan GBS ini juga boleh datang dan pergi. Sebagai contoh mungkin kita didapati positif terhadap jangkitan GBS pada awal kehamilan, tetapi jangkitan ini mungkin telah tiada lagi ketika di akhir kehamilan.

    Sekiranya saya dijangkiti, apakah yang perlu saya lakukan?

    Biasanya Doktor akan memberikan surat pengesahan yang menyatakan kita adalah pembawa GBS dan surat ini perlu diletakkan di dalam buku Antenantal (Buku Pink) yang dibawa ke klinik setiap kali kita membuat pemeriksaan kehamilan. Sekiranya Doktor tidak memberikan surat ini, pastikan kita  memintanya daripada Doktor bagi tujuan keselamatan kerana kita sendiri tidak dapat memastikan di mana kita akan bersalin nanti.
    Surat ini penting kerana ibu memerlukannya bagi tujuan mendapatkan antibiotik sebelum melahirkan bayi. Sebagai contoh, Mek ila disahkan sebagai pembawa GBS ketika menjalani pemeriksaan di Hospital S namun Hospital S tidak memberikan sebarang surat pengesahan. Oleh yang demikian Mek ila terpaksa menjalani ujian sekali lagi di Hospital A bagi tujuan pengesahan tersebut kerana Mek ila bercadang untuk bersalin di Hospital A. 
    Antibiotik biasanya tidak diberikan semasa kehamilan kerana GBS ini biasanya akan kembali menghuni Vagina selepas rawatan antibiotik habis. Walaubagaimanapun, sekiranya Dr menyarankan kita untuk makan antibiotik, adalah tidak salah untuk kita mengikuti saranan tersebut.·         
    Ketika tanda-tanda bersalin yang betul telah ada, ibu perlu segera ke Hospital untuk mendapatkan IV  (Intravena) antibiotik yang akan dimasukkan ke dalam tubuh melalui drip. Antibiotik ini mampu menghalang jangkitan kepada bayi yang bakal dilahirkan. Sebaik-baiknya, antibiotik ini harus diambil sekurang-kurangnya 2 jam sebelum bayi dilahirkan.
    Pengambilan IV Antibiotik sebelum kelahiran mampu menghalang jangkitan GBS kepada Bayi

    Berikut adalah beberapa faktor yang boleh membuatkan bayi kita cenderung untuk mendapat jangkitan GBS iaitu:-

    • Bayi dilahirkan tidak cukup bulan/ lebih awal  (sebelum  minggu ke 37 kehamilan)
    • air ketuban pecah 18 jam atau lebih sebelum bayi dilahirkan
    • suhu badan ibu naik kepada 38 ͦC atau lebih ketika proses kelahiran;
    • pernah mempunyai bayi yang pernah dijangkiti GBS sebelum ini. 
    • ibu disahkan pembawa GBS semasa hamil

    Selepas Bayi Dilahirkan

    Jika bayi berisiko untuk  mendapat jangkitan GBS, sebaik sahaja dilahirkan: –

    • Bayi akan terus diperiksa oleh pakar pediatrik atau ditempatkan di NICU untuk pemantauan.
    • Jika ibu dan bayi sihat dan ibu telah mendapat IV antibiotik secara penuh, bayi juga mungkin akan diberikan antibiotik. Dalam kes Mek ila, baby Akmal juga telah menerima rawatan antibiotik selama 5 hari. Antibiotik yang diterima oleh Akmal ialah C-Pen (Penisilin) dan Genta (Gentamicin).
    • Jika ibu dan bayi sihat tetapi ibu tidak sempat atau tidak mengambil antibiotik, bayi biasanya akan diberikan antibiotik sehingga dipastikan beliau telah benar-benar selamat.
    • Jika bayi atau ibu menunjukkan tanda-tanda jangkitan GBS, antibiotik juga akan diberikan dengan segera.
    Kenangan ketika Baby Akmal ditempatkan di NICU
    Tidak dinafikan pemberian antibiotik boleh mendatangkan kesan sampingan kepada bayi. Oleh yang demikian, berbincanglah dengan Doktor bagi  membolehkan anda menimbangkan rawatan yang terbaik untuk bayi anda. Kebiasaannya pakar kanak-kanak akan memilih rawatan yang mengutamakan keselamatan  dan melindungi bayi berbanding risiko kesan sampingan yang lebih kecil.

    Bersalin secara Ceaser?
    Bayi yang lahir melalui kaedah ceaser (pembedahan) adalah kurang berisiko untuk menerima jangkitan GBS kerana kelahiran ini tidak melalui bahagian peranakan ibu. Walaubagaimanapun bayi masih boleh dijangkiti sekiranya air ketuban telah pecah terlebih dahulu atau sekiranya proses untuk bersalin telah pun bermula.
    Oleh yang demikian bersalin secara pembedahan bukanlah jaminan  bahawa bayi tidak akan terkena jangkitan GBS.  Mek ila sendiri pernah membincangkan perkara ini bersama Gynae dan beliau tidak mengggalakkan kaedah kelahiran secara pembedahan sekiranya ibu boleh bersalin nomal kerana ianya boleh mendatangkan risiko lain kecuali jika ibu memang perlu dibedah di atas sebab-sebab yang tertentu.

    Tanda-tanda jangkitan GBS terhadap bayi.

    Jangkitan GBS kepada bayi selalunya berlaku pada peringkat awal (dalam masa tujuh hari selepas dilahirkan), dengan 90 peratus berlaku dalam masa 12 jam selepas kelahiran. Dalam kebanyakan kes, gejala jangkitan GBS pada bayi boleh diketahui semasa atau sebaik sahaja kelahirannya. 
    Bagaimana Bayi Boleh Dijangkiti Ketika Proses Kelahiran

    Tanda-tanda biasa jangkitan awal GBS kepada bayi termasuklah:

    • mendengus
    • kurang menyusu
    • kelesuan
    • cepat meragam
    • tekanan darah rendah
    • suhu badan tinggi atau rendah, kadar degupan jantung dan /atau kadar pernafasan yang luar biasa.

    Dalam kes yang lebih lebih luar biasa, jangkitan GBS juga boleh berlaku apabila bayi berusia tujuh hari atau lebih (permulaan akhir GBS), biasanya sebagai meningitis dengan septisemia. Diagnosis dan rawatan awal adalah penting bagi jangkitan permulaan akhir GBS atau meningitis. Jika bayi  menunjukkan tanda-tanda seperti di atas, segeralah ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Semakin meningkat umur bayi semakin kurang risiko untuk dijangkiti GBS. Jangkitan GBS terhadap bayi jarang berlaku selepas berumur sebulan dan hampir-hampir tidak diketahui selepas tiga bulan.

    Jenis -Jenis Jangkitan Yang Boleh Berlaku Kepada Bayi – sebelum atau semasa kelahiran dan selepas kelahiran


    Jenia Jangkitan GBS Kepada Bayi
    Terdapat dua jenis jangkitan GBS kepada bayi iaitu:-

    Early Onset

    Jenis ini sering berlaku. Tanda-tanda bayi dijangkiti GBS early onset akan muncul dalam tempoh 6 jam hingga seminggu selepas dilahirkan. Hampir 80 peratus kes menunjukkan bahawa tanda-tanda dikesan dalam jangka masa 72 jam pertama bayi. Jangkitan jenis ini boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru, otak, saraf tunjang dan darah. GBS early onset boleh menjadi lebih serius dan memerlukan tindan perubatan yang segera.

    Late Onset
    GBS jenis ini pula agak jarang berlaku. Bayi lazimnya tidak menunjukan sebarang tanda jangkitan sehinggalah dia berusia seminggu hingga enam bulan. Hampir separuh daripada bayi ini mendapat jangkitan semasa proses kelahiran. Manakala, separuh lagi mendapatnya selepas dilahirkan iaitu menerusi hubungan dengan ibu yang GBS+ve atau orang lain yang mempunyai masalah sama. Masalah kesihatan yang biasa mengganggu bayi yang dijangkiti ialah meningitis.

    Trend Jangkitan Early Onset & Late Onset Bagi Setiap 1000 Kelahiran

    Walaupun purata bayi yang akan mendapat jangkitan Late Onset sangat rendah, ianya bukanlah sesuatu yang mustahil untuk berlaku dan tidak boleh dipandang remeh. Sekiranya bayi tidak dirawat segera selepas disahkan terkena jangkitan, ianya boleh membawa kepada kematian. Oleh yang demikian, Mek ila juga amat berhati-hati dengan penjagaan kesihatan baby Akmal seperti tidak membawanya ke tempat-tempat awam sehinggalah beliau melepasi tempoh enam bulan ini.

    Kesimpulannya

    • GBS ketika hamil adalah masalah yang biasa berlaku dan apa yang ibu-ibu perlukan adalah mendapatkan rawatan yang sepatutnya sebelum bersalin. Oleh yang demikian ibu-ibu perlu lebih peka tentang tanda-tanda awal apabila proses kelahiran sudah bermula bagi memastikan ibu sempat mendapatkan IV antibiotik sebelum kelahiran bayi.
    • Risiko bayi untuk dijangkiti GBS adalah tinggi iatu sebanyak 70%  tetapi hanya 1% daripada mereka boleh mendapat jangkitan yang serius seperti  dijangkiti pneumonia,sepsis dan meningitis
    • Pengetahuan ibu tentang rawatan yang mungkin diperlukan oleh bayi seperti pemberian antibiotik sangat membantu ibu-ibu  menghadapi situasi yang mungkin mencemaskan ini.
    • Pemahaman ibu  bapa tentang jenis jangkitan Early Onset dan Late Onset akan membantu ibu bapa menjaga bayi mereka dengan lebih  khusus (extra care)  bagi mengelakkan bayi mendapat jangkitan yang tidak sepatutnya.

    Mudah-mudahan entry ini dapat memberikan panduan dan gambaran kepada ibu-ibu yang mengalami masalah ini. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar bayi yang bakal dilahirkan sentiasa sihat dan terlindung daripada jangkitan ini.

    Baca lebih lanjut untuk cara-cara menghilangkan jangkitan GBS secara semulajadi di sini.

    Salam Sayang & Jumpa Lagi !

    (Visited 2,166 times, 1 visits today)

    Categories: Info Kesihatan, Kehamilan dan Penjagaan Bayi

    Tags: , ,

    4 thoughts on “Bahaya GBS Ketika Hamil

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge