• Hernia Pada Bayi Mengundang Komplikasi

    Pernah dengar tentang Hernia? Dikurniakan 2 orang anak lelaki setakat ini memang membuatkan Mek ila perlu peka dengan keadaan ini. InsyaAllah entry kali ini akan menjurus tentang hernia di kalangan bayi.

    Inguinal hernia atau lebih dikenali sebagai angin pasang pada bayi adalah  keadaan di mana usus atau selaputnya terjatuh masuk ke dalam kantung dan kantung tersebut terjulur keluar melalui pembukaan otot dinding perut di bahagian ari-ari. Keadaan ini disebabkan oleh pembukaan pada otot dinding perut  yang dalam kebanyakan masa bukaan ini akan tertutup secara semula jadi sewaktu bayi dilahirkan ataupun dalam tahun pertama kehidupan. 

    Bayi mungkin menangis secara kuat dan tiba-tiba tanpa sebab tertentu apabila serangan hernia berlaku

    Sumber utama: Portal MyHealth

    Hernia pada bayi adalah berbeza dengan kejadian angin pasang di kalangan orang dewasa di mana faktor utamanya disebabkan oleh kelemahan otot dinding perut yang berkaitan dengan peningkatan umur dan masalah-masalah kesihatan lain.

    Fakta

    • Inguinal hernia bukan disebabkan oleh gaya pemakanan seseorang ibu mengandung. Ia tidak dapat dikesan sewaktu bayi berada dalam kandungan. 
    • Hernia juga boleh berlaku kepada kanak-kanak perempuan. Walaubagaimanapun kebanyakkannya melibatkan kanak-kanak lelaki.
    • Inguinal hernia adalah sejenis keadaan yang berisiko tinggi  terutamanya bagi bayi-bayi di bawah umur 1 tahun. Ini adalah kerana ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi disebabkan oleh usus yang terperangkap di dalam kantung hernia.

    Kenali Tanda-tanda Hernia

    Inguinal hernia boleh melibatkan sebelah ataupun dua-dua belah ari-ari. Ia akan kelihatan seperti bonjolon di bawah kulit di bahagian ari-ari, atau boleh turun masuk ke dalam sarung telur bayi lelaki. Keadaan ini bukan disebabkan oleh aktiviti yang lasak atau anak meneran, menangis atau batuk, tetapi ia akan lebih ketara dalam keadaan tersebut.

    Inguinal Hernia

    Komplikasi Hernia

    Sekiranya sebahagian daripada usus terperangkap di dalam kantung hernia, komplikasi utama yang boleh berlaku ialah usus tersumbat. Dalam keadaan ini, najis dan gas tidak dapat keluar melalui jalan dubur seperti biasa. Pesakit akan mengalami kesakitan perut dan di ari-ari , perut kembung, muntah dan kesukaran membuang air besar seperti gambar di bawah. 

    Komplikasi Hernia

    Segeralah membawa bayi atau anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Sekiranya pesakit tidak mendapat rawatan awal, usus yang terperangkap di dalam kantung hernia boleh terus tercedera sehinggakan bahagian tersebut mati  akibat kesekatan saluran darah ke bahagian usus yang terperangkap. Sekiranya ini berlaku, pesakit biasanya akan memerlukan rawatan pembedahan secara kecemasan.

    Komplikasi lain yang boleh berlaku ialah tumbesaran telur bayi lelaki terbantut atau terjejas sama sekali. Ini boleh berlaku terutamanya kepada bayi-bayi pramatang atau sekiranya hernia dikaitkan dengan kedudukan telur yang tidak betul bagi bayi-bayi lelaki.

    Rawatan Hernia

    Memandangkan hernia mudah menyerang bayi lelaki, ibu bapa dinasihatkan peka terhadap keganjilan pada kemaluan anak mereka dan mendapatkan rawatan secepat mungkin bagi mengelak ia menjadi lebih serius.
    Ibu bapa juga dinasihatkan jangan mengurut bayi mereka bagi mengurangkan benjolan kerana mengurut boleh memburukkan keadaan kerana ia membabitkan usus. Cara paling selamat ialah melakukan pembedahan kecil yang dikenali sebagai Herniotomy.

    Ia adalah sejenis prosedur ringkas yang memerlukan bius dan paling elok dilakukan oleh pakar bedah kanak-kanak. Pesakit perlu berpuasa selama beberapa jam sebelum pembedahan dijalankan. Dalam keadaan biasa, pembedahan Herniotomy biasanya dibuat sebagai prosedur di unit rawatan harian di mana pesakit tidak perlu tinggal di dalam wad untuk semalaman.

    Herniotomy melibatkan torehan kecil (biasanya 2-3cm) di bahagian ari-ari yang bermasalah. Prosedur ini biasanya memakan masa 15-30 minit.  Selepas pembedahan ini, pesakit boleh diberi minum dan makan apabila dia sedar dengan sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama.

    Selepas seminggu, biasanya pesakit perlu dibawa semula berjumpa Doktor untuk pemeriksaan luka. Kanak-kanak yang lebih besar juga dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti lasak sekurang-kurangnya selama 1-2 bulan sehingga sembuh sepenuhnya.

     

    (Visited 607 times, 1 visits today)

    Categories: Info Kesihatan

    Tags: ,

    13 thoughts on “Hernia Pada Bayi Mengundang Komplikasi

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge