• 5 Tips Mudah Pujuk Anak Pergi Sekolah!

    Salam semua 🙂

    Sedar tak sedar, cuti sekolah telah pun habis dan sampai ke penghujungnya. Kebanyakan daripada anak-anak kita akan memulakan sesi persekolahan pada hari esok 12 Januari 2015. Bagi anak yang pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah sama ada ke sekolah tadika atau darjah satu, pastinya pelbagai ragam dan gelagat akan ditunjukkan. Ada yang sangat bersemangat, ada yang takut dan ada juga yang menangis kerana bakal berhadapan sesuatu perkara yang baru.

    Sebenarnya perasaan takut adalah sesuatu yang biasa terutamanya di kalangan kanak-kanak. Jadi ibu bapa jangan panik kalau anak menangis atau tidak mahu pergi ke sekolah. Di bawah ini, saya kongsikan 5 tips mudah untuk memujuk dan menggalakkan anak-anak supaya suka pergi ke sekolah. Pendek kata usaha kita untuk memujuk dan berkomunikasi dengan anak menjadi lebih mudah andainya kita dapat memahami dan melakukan perkara-perkara ini.

    Cari Punca Mengapa Anak Takut/ Tidak Mahu Ke Sekolah
    Kebanyakan anak takut ke sekolah kerana ada perkara yang merisaukan mereka. Contohnya mungkin anak takut untuk bergaul dengan teman-teman baru yang tidak dikenali. Atau mungkin juga anak takut kerana merasakan tiada siapa yang menjaga mereka di sekolah. Jadi kita perlu menerangkan perkara ini kepada anak-anak. Ambil contoh yang dekat di hati mereka, contoh: sebelum ini anak juga mempunyai rakan baru yang asalnya tidak dikenali. Ibu bapa juga boleh menceritakan pengalaman mereka, dengan ini anak akan rasa lebih berkeyakinan kerana ayah atau ibu juga pernah melalui perkara yang sama.

    Ceritakan Pada Anak Tentang Apa Yang Akan Berlaku di Sekolah
    Anak-anak zaman sekarang sangat bijak dan telah mendapat pelbagai pendedahan awal walaupun mereka belum bersekolah. Menerangkan pada anak apa yang akan berlaku di sekolah akan membantu mereka lebih berkeyakinan dan bersemangat untuk menghadapi alam persekolahan.

    Keseronokan dan Aktiviti Upin Ipin Di Sekolah Antara Pembakar Semangat Untuk Arif ke Sekolah

    Jalinkan Hubungan Yang Baik Dengan Cikgu
    Menjalinkan hubungan baik dengan cikgu dapat memberikan keyakinan kepada anak bahawa mereka akan selesa dan rasa selamat di sekolah. Sebagai contoh; ibu bapa boleh memperkenalkan anak kepada guru semasa menghantar anak ke sekolah. Jika berkesempatan, ibu bapa juga boleh memberikan sedikit kata pujian berkaitan anak di hadapan cikgu bagi menghilangkan ketakutan dan debaran di hati anak.

    Buatkan Satu Sistem Penghargaan (Reward)
    Satu bintang untung setiap hari persekolahan. Apabila cukup  bilangan bintang, berikan penghargaan kepada anak. Penghargaan tidak semestinya dalam bentuk hadiah yang mahal dan memerlukan duit. Sebagai contoh, ibu bolehlah masak sesuatu makanan yang sangat disukai oleh anak apabila bintang tadi telah mencukupi. Boleh juga sekiranya reward dibuat dalam bentuk jangka pendek dan jangka panjang. Reward jangka panjang mungkin lebih ekslusif di mana anak berpeluang untuk bercuti di tempat yang mereka sukai pada cuti sekolah nanti.

    Contoh Carta Reward

    Sentiasa Ambil Berat Tentang Aktiviti dan Persekolahan Anak.
    Sesibuk mana pun kita, jangan ambil mudah tentang persekolahan dan aktiviti anak-anak. Sebagai contoh: Luangkan masa 5 minit setiap hari untuk bertanya tentang apa yang anak pelajari di sekolah dan berikan pujian kepada pencapaian mereka. Dengan cara ini anak-anak akan rasa lebih dihargai dan akan rasa seronok untuk pergi ke sekolah.

    Selamat Mencuba!

    Salam Sayang & Jumpa Lagi!

    (Visited 460 times, 1 visits today)

    Categories: Mendidik Anak

    Tags:

    6 thoughts on “5 Tips Mudah Pujuk Anak Pergi Sekolah!

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge