• Menghadapi Kematian Baby Baru Lahir – Kuatkah Mama & Papa?

    Dalam setahun kebelakangan ini, ada 3-4 kes kematian bayi baru lahir yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat Mek ila. Ada bayi yang meninggal ketika lahir, ada juga bayi yang lahir ketika hampir dilahirkan. Dapatkah pembaca semua bayangkan betapa sedihnya perasaan bakal mama& papa ini? Kuatkah mereka menghadapi dugaan ini?

    kematian bayi

    Maafkan Ibu Sayang, Kita Tiada Rezeki Bersama Di Dunia Ini!

    Sebenarnya Mek ila sendiri pernah menghadapi saat-saat kesedihan ini apabila anak sulung Mek ila meninggal dunia selepas dua hari dilahirkan. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi baby daripada kami semua. Jadi semoga perkongsian ini dapat dijadikan sebagai salah satu sumber kekuatan semangat untuk mama & papa yang menghadapi situasi yang sama ini.


    Redha kan Pemergian Baby – Itu Ketentuan Allah Yang Terbaik Untuknya
    Kematian baby boleh berlaku dengan banyak sebab. Ada yang berlaku disebabkan komplikasi kehamilan, ada yang berlaku disebabkan oleh tahap kesihatan baby sendiri dan ada juga yang berlaku disebabkan oleh kecuaian manusia. Walau apa pun sebabnya, sebagai umat Islam kita perlu yakin dan redha pada qada’ dan qadar. Segala-galanya ditentukan oleh Allah. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambanya berbanding kita semua.

    “Ketika baby dalam kesakitan dan melawan penyakitnya, seorang ibu muda terus tabah dan sentiasa berdoa agar bayi tersebut sembuh dan sempat diselamatkan. Namun takdir Allah menentukan pertemuan mereka hanya setakat itu sahaja.”

    Allah know the best (2)

    Berbulan-bulan ibu ini dan suaminya menangis hinggalah pada suatu ketika mereka bertemu dengan pasangan yang pernah mengalami situasi yang sama tetapi anaknya dipanjangkan umur untuk terus menghirup udara di dunia ini. Kata pasangan itu, walaupun anak kami hidup, dia hidup dalam serba kekurangan akibat masalah yang dialaminya ketika dilahirkan. Kami redha dan sentiasa berdoa agar kami dipanjangkan umur agar dapat menjaga anak istimewa ini hingga ke akhir hayatnya. Jadi janganlah kamu bersedih kerana sesungguhnya Allah tidak mahu melihat kesedihan kamu berpanjangan. Sekurang-kurangnya sudah ada seorang anak yang menunggu kamu di syurga nanti”.

     

    Menangis Bila Perlu
    Seorang ibu pasti akan menangis dan bersedih bila teringatkan anaknya. Itu sesuatu yang normal dan dengan menangis ianya dapat melegakan sedikit kesedihan yang tersimpan. Maka menangislah jika perlu TETAPI cepat-cepatlah bangun untuk mencari kekuatan. Inilah pesanan daripada seorang sahabat yang sangat terpahat di hati Mek Ila sehingga ini. Banyak cara yang boleh dilakukan untuk menguatkan rohani kita seperti berzikir, mengaji atau melakukan solat sunat. Jangan biarkan diri dihasut oleh perasaan-perasaan yang hanya membawa kita kepada keburukan.

    menangis

    Menangislah seketika andai itu dapat melegakan!

     

    Berkongsi Kesedihan
    Berkongsilah kesedihan dengan ahli keluarga, teman-teman rapat dan juga kenalan. Malah mama dan papa juga boleh sentiasa berbual-bual tentang perkara ini. Namun pastikan perkongsian membawa kepada perbincangan yang positif dan bukannya kepada perkongsian yang negatif. Mama dan papa perlu saling menyokong di antara satu sama lain, cuba melupakan kesedihan dan berani untuk memulakan langkah yang baru.


    Tips Tambahan Untuk Mama

    Penyusuan
    Ibu-ibu yang kematian baby biasanya akan menghadapi masalah dengan penyusuan. Selepas beberapa hari kelahiran/kematian, puting susu biasanya akan penuh  dan bengkak. Cara terbaik adalah dengan mendapatkan bantuan daripada Kaunselor Laktasi yang ada di hospital atau di klinik-klinik Kerajaan. Pakar Laktasi biasanya akan mensyorkan vitamin-vitamin yang selamat untuk membantu mengurangkan susu secara semulajadi seperti single Vitamin B6  Pyridoxine. Mek ila sendiri pernah mengambil vitamin ini ketika kematian bayi dahulu. Pastikan mama tidak mengambil ubat hormon untuk menghentikan susu seperti Bromocriptine kerana ianya mengandungi dadah yang boleh membahayakan kesihatan dan mungkin mengganggu penyusuan bayi yang akan datang.

    b6

    Vitamin B6 Digunakan Untuk Membantu Mengurangkan Penghasilan Susu Bagi Ibu Yang Kematian Bayi

     

    Ambil Masa Untuk Mengandung Semula
    Mengandung semula dalam masa yang terdekat bukanlah idea yang baik sekiranya Mama masih belum benar-benar bersedia daripada aspek fizikal dan mental. Sebagai contoh kematian bayi mungkin disebabkan oleh komplikasi kesihatan mama seperti kencing manis atau darah tinggi. Jadi sekiranya ingin mengandung lagi, pastikan mama telah mendapatkan rawatan untuk penyakit tersebut bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi. Dapatkan nasihat Pakar Sakit Puan (Gynae) sebelum mama mengandung lagi. Kematian bayi Mek ila dulu adalah disebabkan kelahiran pramatang, jadi sebelum mengandung lagi Mek ila sendiri telah mengkaji penyebab kelahiran pramatang dan cuba mendapatkan rawatan yang sesuai. Alhamdulillah, selepas itu barulah Mek ila yakin dan bersedia untuk mengandung semula.

    Jadi mama, berbincanglah bersama-sama suami saat yang terbaik untuk mengandung semula. Tempuhi saat-saat kehamilan itu dengan penuh keyakinan dan yakinlah andai sesusah mana pun dugaan dan cabarannya, janji Allah itu pasti dan rezeki anak itu akan sentiasa ada dengan keizinanNya.

    Setiap Yang Berlaku Ada Hikmahnya
    Ini juga antara kata-kata yang sering Mek ila kongsikan kepada mereka. Lihatlah perkara ini dengan lebih luas. “Alhamdulillah, Allah beri kita peluang untuk mengandung dan melahirkan anak, cuma kita belum berpeluang untuk menjaganya. Lihatlah rakan-rakan kita yang lain, yang telah lama berkahwin tetapi belum berpeluang untuk mengandung. Tentu mereka juga rasa sedih sekali, lebih sedih dari apa yang kita rasakan”.

    InsyaAllah, dengan sering rasa bersyukur, akan membuatkan kita lebih tabah dan berani untuk meneruskan kehidupan ini.

    Salam sayang;
    Mek ila

    (Visited 672 times, 1 visits today)

    Categories: Khidmat Masyarakat, Motivasi, Panduan Penyusuan

    Tags: ,

    7 thoughts on “Menghadapi Kematian Baby Baru Lahir – Kuatkah Mama & Papa?

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge