• 7 Kaedah Mudah Ajar dan Galakkan Anak Bersolat

    Kata pepatah Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya. Begitu juga dalam perkara menunaikan solat. Solat juga merupakan perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah ketika di hari kiamat kelak. Nak menggalakkan anak bersolat memang mudah jika kena dengan caranya.

    Didik Anak Rajin Solat

    Ibu Bapa Contoh Terbaik
    Dalam entry yang lepas, Mek ila banyak sentuh tentang perkara ini. Anak-anak adalah cermin bagi ibu bapa atau dalam erti kata lain anak-anak suka meniru perbuatan ibu bapanya. Jadi sebagai ibu bapa, kita perlulah menunjukkan contoh yang baik. Bukan sekadar menunaikan solat tetapi meletakkan solat pada keutamaan yang sangat tinggi.

    Solat Bersama

    Jika anak-anak bermain-main semasa kita sedang solat, janganlah marah kepada mereka. Dikatakan cucu Rasulullah SAW Saidina Hassan dan Hussin juga pernah melakukan perkara yang sama hingga memaksa Rasulullah sujud lebih lama daripada biasa. Apabila ditanya oleh para sahabat, Rasulullah mengatakan bahawa baginda tidak mahu cucu baginda terjatuh andai terus bangun.

    Jangan sesekali menyatakan ” main kat luar lah, ayah nak solat dulu”. Ini boleh membuatkan anak-anak merasa bahawa solat boleh mengganggu hubungan kasih sayang di antara kita.

    Cara yang biasa Mek ila praktiskan ialah bentangkan sejadah yang kecil untuk anak-anak dan galakkan mereka solat bersama- sama walaupun mungkin mereka akan bermain-main.

    Dedahkan Kepentingan Solat
    Kepentingan solat boleh ditunjukkan dengan pelbagai cara. Sebagai contoh kita boleh mengajak anak menunaikan solat dengan segera setelah azan berkumandang. Kita juga perlu sentiasa mengutamakan solat tidak kira di mana kita berada sama ada dalam perjalanan yang jauh atau pun ketika membeli belah.

    Selain itu, anak-anak juga boleh didedahkan tentang kepentingan solat melalui aktiviti permainan, nasyid atau pun melalui animasi berkaitan solat.

     

    Upin Ipin Belajar Solat

    Solat Berjemaah
    Usahakan agar ibu bapa dapat solat berjemaah bersama anak-anak sekurang-kurangnya sekali sehari seperti solat maghrib berjemaah. Seandainya keadaan tidak mengizinkan, usahakan untuk solat berjemaah pada setiap hari cuti.

    Selepas solat berjemaah, bacalah doa dan aminkan doa bersama-sama. Bagi anak yang masih kecil, seperti Akmal biasanya Mek ila akan angkat Akmal ke atas pangkuan untuk aminkan doa bersama-sama. Andai ada masa yang lebih, usahakan agar si ayah dapat memberikan tazkirah yang ringkas kepada ahli keluarga.


    Belikan Pakaian Solat

    Membelikan anak-anak pakaian solat boleh menaikkan semangat mereka untuk menunaikan solat bersama-sama. Antaranya ialah sejadah kecil yang sesuai dengan mereka, telekung kecil untuk anak perempuan dan baju jubah/songkok untuk anak lelaki. Bagi anak lelaki, pastikan mereka tidak memakai pakaian yang mempunyai gambar-gambar kartun, orang atau haiwan yang tidak sesuai dipakai ketika menunaikan solat.


    Pilih Sekolah Yang Mementingkan Aktiviti Kerohanian dan Solat Jemaah

    Selain kita ibu bapa, guru-guru juga adalah pengajar yang terbaik untuk anak-anak. Oleh yang demikian, apabila anak  mula bersekolah, pilihlah sekolah yang berteraskan pengajaran islamik dan mementingkan solat berjemaah. Alhamdulillah sekolah tadika Arif amat mementingkan solat berjemaah termasuk solat dhuha. Memang sejuk hati ibu bapa bila melihat anak-anak kecil kita solat jemaah bersama-sama.

    Solat Berjemaah di Sekolah


    Sentiasa Memberi Pujian dan Galakkan Positif kepada Anak-Anak

    Ucapkanlah kata-kata pujian apabila anak bersolat walaupun mungkin mereka menunaikannya secara bermain-main.

    Pandainya anak ibu solat. Macam inilah  anak yang soleh. Nanti kita solat lagi sama-sama dan buat lebih baik lagi ye.

    Apabila anak malas untuk menunaikan solat, pujuklah dan berikan galakan. Sebagai contoh ibu bapa boleh menyatakan bahawa sifar malas itu datangnya dari hasutan syaitan. jadi anak-anak perlu kuat dan melawan perasaan malas itu.

    Jadikan Amalan Yang Berterusan.
    Kaedah-kaedah ini perlu dibuat secara berterusan. Dalam erti kata lain, sebenarnya ia  adalah amalan di sepanjang hayat. Bukan hanya  ketika anak masih kecil malah perlu kita teruskan sekalipun anak-anak telah bekerja dan berumahtangga. InsyaAllah amalan ini akan diteruskan pula oleh anak-anak kita kepada anak-anak mereka pula.

    Amin, Ya Rabbal Alamin.

    (Visited 571 times, 1 visits today)

    Categories: Umum

    One thought on “7 Kaedah Mudah Ajar dan Galakkan Anak Bersolat

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge