• 8 Tips Berpuasa Bagi Ibu Hamil

    Kehamilan dan puasa memang sukar dipisahkan. Maklumlah kehamilan mengambil masa kira-kira 9 bulan atau 40 minggu, jadi kebiasaannya ibu-ibu pasti akan melalui juga pengalaman hamil di bulan puasa ini sama ada sekali atau berkali-kali.

    Mek ila juga begitu, daripada 3 orang anak 2 daripadanya memang menempuh bulan puasa. Cuma Arif  seorang sahaja yang tidak menempuh bulan puasa sebab Mek ila mula disahkan mengandung di bulan syawal.

    Mama Cergas

    Kehamilan sebenarnya tidak menghalang ibu-ibu hamil daripada berpuasa. Cuma kebiasaannya di trimester pertama kebanyakan ibu  hamil masih di fasa morning sickness yang teruk. Muntah muntah dan loya sepanjang hari membuatkan biasanya ibu hamil tidak mampu berpuasa. Di trimester ketiga pula, kandungan semakin membesar dan menyebabkan ibu-ibu mudah letih dan penat. Kerana itulah di dalam Islam sendiri terdapat rukhsah iaitu ibu-ibu hamil dibenarkan berbuka puasa sekiranya keadaan kesihatan ibu atau anak di dalam kandungan tidak mengizinkan.

    Walau bagaimanapun Dr mungkin menasihatkan ibu-ibu hamil tidak berpuasa sekiranya mereka mempunyai masalah kesihatan seperti mempunyai kencing manis, darah tinggi yang tidak terkawal, masalah hati, kehamilan kembar, mempunyai risiko kehamilan pramatang dan sebagainya.

    Tips-Tips Untuk Ibu Hamil Berpuasa
    Sebenarnya tips Ibu Hamil kekal cergas ketika berpuasa tidak jauh bezanya dengan kita semua. Cuma beberapa penekanan perlu diberi berdasarkan keadaan ibu hamil.

    Tips 1 : Sahur Adalah Wajib
    Jangan sesekali meninggalkan sahur. Sahur penting kerana ianya adalah satu-satunya sumber untuk membekalkan tenaga dan nutrisi yang diperlukan oleh ibu-ibu di sepanjang hari. Kalau perut lapar dan tenaga pula tiada, bagaimana ibu hamil ingin berpuasa?

    Hamil dan Berpuasa

    Tips 2: Pilih Makanan Yang Betul
    Walaupun sahur tetapi jenis makanan yang salah dipilih, ianya tidak boleh juga. Ada kenalan Mek ila yang bersahur dengan maggie sahaja sebab tidak sempat masak.  Sebenarnya makanan yang sesuai untuk sahur ialah daripada jenis karbohidrat kompleks yang biasanya mempunyai serat yang tinggi seperti nasi beras perang dan roti bijian penuh. Karbohidrat kompleks membekalkan tenaga dalam tempoh yang lebih lama dan membolehkan ibu-ibu menahan lapar untuk masa yang lebih panjang. Jadi tiadalah baru pukul 10 pagi, tapi tahap lapar dah sampai kepada maksima.

    Tips 3: Jangan Gosok Gigi Terlalu Lama
    Kebanyakan ibu hamil terutama di trimester 1 mudah muntah ketika menggosok gigi. Bila dah muntahkan makanan yang dimakan, maka perut mulalah kosong dan boleh menjadi sebu. Nak berpuasa pun dah tak larat. Jadi tips yang mudah ialah jangan gosok gigi terlalu awal selepas sahur, jarakkan sekitar 15-20 minit selepas sahur. Bila gosok gigi pula, jangan terlalu lama, cukuplah sekadar membersihkan keseluruhan gigi seadanya.

    Tips 4: Pastikan Minum Air Masak Yang Mencukupi
    Air masak yang mencukupi penting untuk mengelakkan badan daripada kekurangan air. Dehidrasi bukan sahaja boleh membahayakan ibu tetapi juga kepada byi dalam kandungan. Oleh yang demikian ambil air masak secukupnya di sepanjang waktu berbuka hingga sahur. Elakkan pengambilan minuman berkafein terutamanya pada waktu sahur bagi mengelakkan dehidrasi tadi.

    Makanan Gula Tinggi


    Tips 5: Elakkan Makanan Tinggi Gula
    Makanan bergula mempunyai Glisemik Index yang tinggi. Ianya akan menyebabkan paras gula dalam darah naik secara mendadak. Apabila paras gula naik, insulin akan dikeluarkan oleh pankreas untuk bertindakbalas dengan gula yang dihasilnya. Maka kita akan mudah mengantuk dan kehilangan tenaga dalam masa yang singkat.

    Tips 6: Berbuka Dengan Makanan Yang  Membekalkan Tenaga Segera
    Selain sahur, pemilihan makanan ketika berbuka juga sangat penting. Kita digalakkan memilih makanan daripada jenis karbohidrat ringkas yang akan membekalkan tenaga dengan segera kepada tubuh. Sudah pastinya hidangan terbaik ketika berbuka ialah buah tamar atau kurma. Disunatkan juga menikmati hidangan yang manis ketika berbuka.

    Tips 7: Jangan Terus Makan Makanan Berat
    Dalam entry yang lepas, mek ila ada terangkan tentang keburukan menghimpunkan berbuka puasa dengan makan malam. Ibu ibu hamil juga sangat digalakkan untuk mengelakkan perkara ini daripada terjadi. Berehatlah sebentar, solat maghrib dan kemudiannya barulah menikmati hidangan makan malam.

    Tips 8: Rehat Yang Mencukupi
    Rehat yang mencukupi adalah penting bagi ibu hamil walaupun bukan ketika berpuasa. Elakkan membuat kerja-kerja berat dan membuat perjalanan jauh ketika berpuasa. Hindarkan juga daripada kepanasan melampau kerana ia boleh menyebabkan hidrasi atau sakit kepala.

    Rehat

    Mudah-mudahan ibu ibu tetap sihat dan tetap kekal aktif walaupun ketika berpuasa, InsyaAllah.

    Baca : 7 Sebab Badan Mudah Letih Ketika Berpuasa

    (Visited 414 times, 1 visits today)

    Categories: Kehamilan dan Penjagaan Bayi

    Tags: , , ,

    2 thoughts on “8 Tips Berpuasa Bagi Ibu Hamil

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge