• Kencing Manis Ketika Hamil- Apa Yang Ibu Perlu Ketahui?

    Kencing Manis ketika hamil atau dipanggil GDM merupakan satu keadaan di mana ibu hamil mempunyai paras glukos yang tinggi di dalam darah semasa hamil. Secara teorinya kebanyakan wanita yang mengalami GDM biasanya tidak langsung mengetahui bahawa mereka menghidap diabetes sebelum ini. Perkara ini pernah Mek ila lalui semasa mengandungkan Akmal dahulu. Memang terkejut sangat sebab tiada angin tiada ribut, tiba-tiba pihak klinik telefon dan bagitau yang Mek ila disayki menghidap GDM. Rupa-rupanya bacaan darah selepas 2 jam minum air gula ialah 8.1.

    Diabetes Ketika Hamil

    Secara teorinya, terdapat 2 jenis diabetes yang sering berlaku iaitu:-

    Diabetes Type 1: Di mana tubuh pesakit biasanya tidak boleh mengeluarkan insulin dan  mereka memerlukan suntikan insulin.

    Diabetes Type 2: Insulin yang dihasilkan oleh tubuh pesakit  tidak mencukupi. Pesakit perlu mengawal pemakanan atau makan ubat berdasarkan keadaan mereka.

    Baca lebih lanjut tentang Diabetes di sini.

    Apa yang membezakan GDM dengan Diabetes di atas?

    GDM biasanya berlaku semasa hamil sahaja. Selepas ibu bersalin, kebiasaanya diabetes ini  akan hilang dengan sendiri walaupun ada juga ibu-ibu yang menghidapnya secara kekal.

    Mengapa GDM berlaku?

    Semasa hamil, kesan insulin akan sedikit terganggu disebabkan oleh pelbagai hormon yang dihasilkan oleh plasenta seperti hormon estrogen, kortisol dan human placental lactogen .

    GDM

    Untuk menampung pembesaran bayi, plasenta akan terus membesar pada trimester kedua dan ketiga. Semakin plasenta membesar, semakin banyaklah hormon-hormon tadi dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi. Pada kebiasaannya, pankreas kita akan bertindak balas untuk menghasilkan insulin tambahan untuk menangani rintangan tersebut. Sekiranya proses ini tidak berjaya, maka GDM akan berlaku.


    Bagaimana Dr Menilai GDM?

    Ujian darah Oral Glucose Tolerance Test (OGTT)  akan diambil untuk tujuan pengesanan GDM, biasanya bermula pada minggu ke 24 kehamilan.  Ibu hamil akan diminta berpuasa mulai jam 10.00 malam untuk tujuan pengambilan darah pada jam 8.00 pagi keesokan harinya.

    Ujian Air Gula

    Setelah ujian darah yang pertama diambil pada jam 8.00 pagi, ibu-ibu akan diminta minum air gula. Air gula ini dihasilkan daripada 75 gm glukosa yang dilarutkan dalam 250ml air. Bagi memastikan keberkesanan ujian ini, ibu-ibu diminta minum air gula sekaligus dan dilarang memuntahkannya. Bab ini yang memang ramai ibu-ibu tak tahan, maklumlah kena minum air yang sangat manis dengan perut kosong. Kalau air gula yang berperisa tu boleh tahan jugalah, rasanya sedap juga berbanding yang plain.

    Selepas 2 jam minum air gula, ujian darah yang terakhir diambil kira-kira jam 10.00 pagi.

    Carta Bacaan Paras Glukos

    Bacaan Glucose (mmol/l) Selepas Berpuasa Selepas 2 jam Minum Air Gula
    Sihat <5.6 <7.8
    GDM >7.8

     

    Rawatan GDM
    Bergantung kepada kadar bacaan glukos, Dr akan mengesyorkan 3 jenis rawatan seperti berikut:-

    1. Kawalan Diet
    2. Ubat Diabetes
    3. Suntikan Insulin

    Paling penting, ikutlah nasihat yang diberikan Doktor bagi menjamin keselamatan ibu dan bayi yang dikandung. Jangan skip pengambilan ubat/insulin dan makanlah ubat mengikut arahan.

     

    Pemantauan GDM
    Bagi memastikan paras gula ibu hamil adalah terkawal, ibu-ibu yang menghidapi GDM perlu mengambil ujian Blood Sugar Pressure (BSP) setiap 2 minggu sekali. Ujian ini perlu diambil sampailah ibu hamil bersalin. Memang penat juga sebab setiap 2 minggu sekali bacaan darah akan diambil sebanyak 4 kali. Bacaan pertama pada jam 8.00 pagi, bacaan kedua pada jam 10.00 pagi, bacaan ketiga pada jam 2.00 petang dan bacaan ketiga pada jam 8.00 malam.  Memang siksa bila terpaksa beratur semata-mata untuk ambil darah. Mek ila hanya pergi sekali sahaja dan minggu-minggu selebihnya Mek ila cek darah sendiri sahaja di rumah selepas membuat rayuan kepada pihak klinik. Untuk tujuan tu, terpaksalah beli Kit Kencing Manis yang ada dijual di farmasi.

    Accu-chek

    Kategori Pemilihan Makanan

    Bagi ibu-ibu yang diarahkan untuk diet kontrol pula, biasanya Dr akan membekalkan senarai makanan yang boleh dimakan dan makanan yang perlu dielakkan atau diambil dalam kuantiti yang sedikit. Ini adalah penting bagi mengelakkan paras gula di dalam darah naik secara mendadak.

    Bagaimana makanan-makanan ini dikategorikan dalam diet ibu GDM? Sebenarnya ianya dikategorikan mengikut paras Glisemik Index (GI).

    GI

    Kiraan GI ini bermula daripada bacaan 0 hingga yang tertinggi 100.

    Nilai 0 adalah apabila makanan tadi tidak langsung meningkatkan paras glukos di  dalam darah dan nilai maksimum peningkatan gula dalam darah adalah 100.

    Carta  GI

    Rendah GI 55 atau kurang
    Sederhana GI <56 -69
    Tinggi GI 70 dan ke atas

     

    Masih ingat entry Mek ila tentang bolehkah ibu hamil makan durian? Durian adalah antara makanan yang mempunyai GI tinggi yang kurang sesuai untuk Ibu Hamil yang mempunyai GDM. Sebenarnya dulu Mek ila  menyangka buah-buah semulajadi yang manis termasuk Kurma adalah sesuai untuk Ibu Hamil, yang tidak sesuai adalah makanan yang mempunyai gula tambahan. Rupa-rupanya sangkaan Mek ila itu salah sama sekali. Ideks GI bagi Kurma adalah 104, lebih tinggi berbanding gula biasa yang indeks GI nya adalah 100 sahaja.

    Kurma

    Bagi ibu yang ingin mengambil supplemen, Vitamin Rendah GI yang sangat disyorkan untuk  ibu hamil yang mempunyai GDM ialah ESP.Kandungan GI ESP cumalah 39 dan kahsiatnya amat bagus kepada ibu-ibu  dan pembesaran bayi di dalam kandungan.

    Paling penting, ibu-ibu GDM dinasihatkan:-

    • Mengambil karbohidrat kompleks seperti bijirin, kekacang, peas, sayur-sayuran, dan makanan berkanji.
    • Mengambil makanan yang kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan roti gandum tulen.
    • Mengambil makanan rendah lemak
    GI Cart

    Contoh Carta GI Bagi Makanan

    Mudah-mudahan dengan pengambilan makanan yang rendah GI ini mampu mengawal kandungan gula di dalam darah dan mengelakkan daripada terjadinya sebarang komplikasi.

    InsyaAllah, Amin.

    (Visited 6,403 times, 8 visits today)

    Categories: Kehamilan dan Penjagaan Bayi

    Tags: , , , ,

    4 thoughts on “Kencing Manis Ketika Hamil- Apa Yang Ibu Perlu Ketahui?

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge