• Perlunya Polisi Yang Memberikan Hak Kepada Ibu-Ibu Untuk Memerah Susu di Tempat Kerja

    Alhamdulillah, pada hari Selasa yang lepas Mek ila berkesempatan untuk turut hadir ke Majlis Perasmian dan Seminar Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Kebangsaan bertempat di bangunan Puspanitapuri, Presint 10 Putrajaya. Penyusuan Susu Ibu memang sesuatu topik yang sangat-sangat Mek ila sukai dan sangat dekat di hati ini.

    perasmian minggu penyusuan

    Penyusuan Susu Ibu dan Kerja: Mari Jayakan

    Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan , hanya 44.4 peratus bayi menyusu susu ibu secara eksklusif sehingga berusia enam bulan, kata Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam. Beliau berkata, wujud cabaran dihadapi ibu terbabit untuk memberi penyusuan eksklusif antaranya komitmen kerja, kurangnya kesedaran kebaikan susu ibu serta beberapa masalah lain yang tidak dapat dielakkan.

     

    Menyempurnakan Hidup Bayi

    Memang benar kerjaya dan persekitaran di tempat kerja yang tidak mesra penyusuan mampu menghalang ibu-ibu daripada terus menyusukan anak mereka. Antara cabaran yang dihadapi oleh ibu menyusu adalah ketiadaan masa atau kesukaran untuk memerah susu di persekitaran yang tidak menyokong penyusuan.

    ” Susahnya nak perah susu di tempat saya. Tiada tempat yang sesuai untuk mengepam susu. Surau yang disediakan untuk staff pula dikongsi oleh staff lelaki dan perempuan. Ada tabir tapi bunyi pam susu saya pernah menarik perhatian staff lelaki sampai dia menjenguk ke sebelah untuk melihat apa yang terjadi.

    “Tempat kerja saya memang sibuk. Kalau saya pergi mengepam sekejap pun, akan ramai orang yang datang mencari saya. Boss pun kadang-kadang menjeling bila saya pergi mengepam. Macam pam susu ni satu kesalahan pula. Paling teruk saya pernah mendengar ada yang berkata saya menggunakan masa bekerja untuk urusan peribadi iaitu mengepam”.

    “Saya bekerja di kaunter. Biasalah kaunter ni sentiasa ramai orang. Saya tak dibenarkan meninggalkan kaunter untuk mengepam  kecuali pada waktu rehat. Memang tension juga.

    Itu sebenarnya adalah beberapa keluhan daripada kenalan Mek ila, malah hakikatnya itulah masalah yang biasa berlaku di tempat kerja tanpa kita sedari.

    Nursing-Mothers-Employee-Rights-Card

    Perlunya Polisi Yang Memberikan Kebenaran Untuk Ibu Memerah Susu Diwujudkan di Malaysia.

    Hakikatnya walaupun banyak inisiatif yang dijalankan untuk mempromosikan kebaikan Susu Ibu dan penyusuan susu ibu secara ekslusif, masih ramai lagi majikan yang tidak memahami tentang kepentingan memerah susu di tempat kerja. Maka, amat penting diwujudkan satu polisi yang menyatakan hak-hak Ibu ini seperti yang telah diperkenalkan di US agar mereka boleh mengepam susu di tempat kerja dengan senang hati dan tanpa perasaan bersalah. Malah kebenaran yang diberikan ini juga sangat menakjubkan, ibu-ibu boleh memerah susu sekerap yang mereka mahukan walaupun kebenaran hanya diberikan sehingga anak tadi berusia 1 tahun.

    Maka sekiranya kerajaan Malaysia, mungkin secara kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjaya mewujudkan polisi khas ini, Mek ila percaya ianya akan mampu meningkatkan lagi peratusan ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka secara ekslusif untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan yang terawal. Ini kerana galakan sahaja tidak  mencukupi tanpa adanya persekitaran yang menyokong sepenuhnya penyusuan susu ibu ini.

    Bilik Susu

    Mengambil satu contoh yang lain, di tempat berlangsungnya majlis ini juga tidak mesra penyusuan. Walaupun ada Bilik Susu seperti yang tertulis di muka pintu, di dalamnya telah dijadikan stor yang menyimpan pelbagai peralatan pembersihan. Malah extension plug juga tidak kelihatan, mungkin tersembunyi di dalam timbunan peralatan yang ada.

    Namun Mek ila percaya, itu semua bukan halangan kepada semua ibu-ibu yang bersemangat kental demi  memberikan yang terbaik kepada bayi. Baca di sini tentang kisah kejayaan ibu-ibu bekerjaya menyusukan anak  mereka.

    (Visited 267 times, 1 visits today)

    Categories: Umum

    4 thoughts on “Perlunya Polisi Yang Memberikan Hak Kepada Ibu-Ibu Untuk Memerah Susu di Tempat Kerja

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge