• Salam Ramadhan 1441H – Jom Lebih Cergas dan Bertenaga di Bulan Ramadhan

    Ahlan Wah Sahlan Ya Ramadhan

    Alhamdulillah, tinggal beberapa hari sahaja kita akan menyambut Ramadhan pada tahun ni. Selamat Berpuasa Mek ila ucapkan walaupun kita tahu Ramadhan kali ini disambut sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jangan terlalu bersedih kerana di sebalik sega ujian yang Allah turunkan ketika ini, pasti ada hikmah dan kebaikan yang menanti di  kemudian hari. Yang pasti, bulan Ramadhan sememangnya bulan yang penuh keberkatan dan sentiasa dirindui oleh hamba-hambaNya yang soleh dan solehah.


    Entry Mek ila kali ini lebih kepada ulangkaji berkenaan Puasa Dari Sudut Kesihatan berdasarkan beberapa kuliah/catatan yang Mek ila simpan. Mudah-mudahan kita semua akan mendapat sedikit ilmu dan manfaat daripada perkara ini.

    ‘Bulan Ramadhan sering dikaitkan dengan keletihan, mengantuk, kurangnya produktiviti dan lebih kepada aktiviti makanan sedangkan sepatutnya bulan Ramadhan adalah bulan kesihatan, bulan silaturrahim, bulan Ibadah, bulan keluasan rezeki dan bulan membaiki institusi keluarga.

    Mengapa ini agaknya terjadi? Jom kita semak seandainya perkara-perkara ini memang menjadi kebiasaan kita ketika di bulan Ramadhan.

    Mengikut kajian, antara kesilapan besar dalam berpuasa ialah:-

    1. Tidak Bersahur
    Ramai di antara kita yang tidak bersahur dengan alasan susah untuk bangun pagi atau tidak biasa makan berat di waktu pagi.

    Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.

    2. Bersahur Dengan Makanan Yang Kurang Sesuai
    Kombinasi makanan berkhasiat yang sesuai diambil ketika bersahur ialah makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks, serat, protein dan mineral. Antara makanan yang dikategorikan dalam karbohidrat kompleks adalah seperti nasi, beras perang, gandum dan oat. Makanan ini memerlukan masa yang lebih lama untuk dicerna dan membuatkan tubuh kita dapat menyimpan tenaga dengan lebih lama.

    Selain itu pilihlah kombinasi makanan yang kaya dengan serat seperti bayam, kacang, buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan yang kaya dengan protein pula ialah seperti ikan, ayam dan telur. Elakkan juga makan makanan yang berminyak, berempah dan pedas ketika sahur. Makanan sebegini boleh menyebabkan gangguan pada sistem pencernaan terutama kepada penghidap gastrik.

    Sebagaimana yang menjadi sunnah, jangan lupa juga untuk mengambil buah kurma ketika bersahur. Kurma bukan sahaja mengandungi serat dan protein malah mengandungi pelbagai vitamin seperti vitamin A, B dan C.

    3. Bersahur Terlalu Kenyang
    Makanlah seadanya dan bukan sehingga membuat kita terlalu kekenyangan. Terlalu kenyang akan membuatkan kita mudah mengantuk dan malas untuk bergerak.

    4. Tidur Selepas Sahur
    Ramai juga yang mengambil kesempatan untuk tidur selepas sahur. Tidur semula dengan perut yang kenyang boleh menyebabkan gangguan kepada sistem penghadaman. Malah tidur selepas makan juga mengganggu pergerakan usus dan boleh menyebabkan kita mengalami gastrik.

    5. Tidak Melakukan Aktiviti Fizikal
    Sebagaimana hari-hari yang lain, kita juga digalakkan untuk terus menjalankan aktiviti fizikal yang ringan ketika di bulan Ramadhan. Antaranya adalah seperti berjalan mengeluarkan peluh, berbasikal atau bersenam ringan. Waktu yang sesuai untuk melakukan aktiviti-aktiviti ini ialah setengah jam sebelum berbuka puasa ataupun kira-kira 2 jam selepas makan.

    6. Kurang Minum Air Masak
    Kurangkan minum air bergula dan lebihkan minum air masak. Minuman bergula boleh menyebabkan rasa haus yang cepat. Selain itu kurangkan juga mengambil minuman berkafein seperti teh atau kopi kerana ianya boleh menghalang penyerapan zat-zat makanan atau vitamin ke dalam tubuh. Air masak yang cukup diperlukan untuk mengelakkan dehidrasi. Ketika berbuka dan bersahur, Mek ila memang memilih Performance Drink bagi menjaga keseimbangan elektrolit di dalam tubuh dan mengelakkan rasa haus yang keterlaluan di bulan puasa.

    7. Terus Makan Dengan Banyak Ketika Berbuka
    Seharian berpuasa membuatkan kita rasa lebih berselera dan teruja untuk berbuka puasa. Makan dengan banyak ketika berbuka bukan hanya membuatkan perut terkejut, perut juga boleh jadi kembung dan menyebabkan ketidakhadaman. Berbukalah puasa dengan kurma atau makanan yang sedikit manis. Nikmati sedikit makanan dan teruslah solat maghrib. Setelah selesai solat, barulah kita makan makanan yang sedikit berat. Itu pun jangan sampai kekenyangan hingga membuatkan kita mengantuk dan penat untuk mengerjakan solat terawikh.

    Mudah-mudahan tips-tips yang diberikan ini mampu membuatkan kita lebih sihat dan bertenaga dalam mengerjakan ibadah puasa pada tahun ini. Juga semoga ramadhan kali ini akan membawa lebih banyak keberkatan, rahmat & hidayah kepada kita semua. Amin.

    Salam Sayang;
    Mek ila

     

     

     

    (Visited 144 times, 1 visits today)

    Categories: Info Kesihatan

    Tags: ,

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge